TEMPEWAKMIS 

        Tempe merupakan makanan tradisional yang sinonim bagi masyarakat Jawa. Bukan sahaja terkenal di negara Indonesia, malah masyarakat di Malaysia turut menggemarinya. Pn Maskiah Jamin merupakan salah seorang pengusaha tempe tradisional di Kg Labohan Dagang. Beliau telah menjalankan perniagaan ini secara kecil-kecilan lebih 15 tahun yang lalu.

          Bahan utama dalam penghasilan tempe ialah kacang soya dan ragi tempe. Kuantiti kacang soya yang digunakan pula bergantung kepada jumlah tempe yang ingin dihasilkan. Manakala bagi proses pembungkusan, daun sempo menjadi pilihan utama. Kacang soya perlu direndam selama 3 hari bagi memudahkan proses menanggalkan kulit. Dalam tempoh tersebut, air rendaman perlu diganti bagi mengelakkan kacang soya yang direndam berasid.

             Seterusnya, kacang soya yang telah direndam akan dimasukkan ke dalam mesin pengisar. Proses ini adalah bagi menanggalkan kulit kacang soya sepenuhnya. Kulit kacang soya perlu dibuang sepenuhnya bagi mengelakkan tempe yang dihasilkan menjadi masam atau rosak. Kacang soya yang telah dibuang kulitnya akan direbus dalam air yang mendidih selama 3 jam. Dalam tempoh ini, unggun api yang digunakan untuk merebus kacang soya hendaklah sentiasa marak. Kacang soya ini kemudiannya dibiarkan kering dan sejuk seketika. Proses berikutnya ialah menggaul dan meratakan ragi tempe bersama kacang soya yang telah siap direbus dan disejukkan.

            Akhir sekali, tempe akan dibungkus sama ada menggunakan daun mahupun plastik. Tempe yang dibungkus menggunakan daun pisang atau daun sempo dikatakan memberikan aroma yang lebih istimewa berbanding jika dibungkus menggunakan plastic. Tempe yang telah siap dibungkus akan disimpan dalam ruang atau bilik khas selama 2 malam. Lazimnya, tempe yang telah siap mampu bertahan sehingga 3 hari.

             Bagi memasarkan produk tempe yang dihasilkan, Wak Mis akan berurus niaga dari rumah ke rumah atau ke premis-premis berkaitan. Rata-rata pembeli merupakan pelanggan tetap beliau. Harga tempe yang dijual adalah sekitar seringgit dan dua ringgit seikat, bergantung kepada saiz.